PUTRAJAYA: Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta tahun ini untuk disalurkan menerusi program Transformasi Perniagaan (BIT) sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, peruntukan tersebut adalah bagi mencapai sasaran melahirkan 24 prafrancaisor dan 240 prafrancaisi bumiputera.

"Program BIT diwujudkan bagi membantu usahawan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) untuk membangunkan perniagaan ke arah francais.

"Melalui program BIT, Pernas menyediakan khidmat nasihat, latihan, bimbingan dan bantuan pembiayaan," katanya dalam temu bual bersama Bernama di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, peserta program BIT perlu mengikuti latihan melibatkan 15 modul selama 45 hari sebelum mengikuti bimbingan berterusan atau hand-holding dalam tempoh tiga tahun selepas tamat kursus bermodul.

Sejak diperkenal pada 2013, BIT yang merupakan program transformasi perniagaan usahawan kecil ke arah francais, sehingga kini telah mencatat pendaftaran 140 jenama tempatan yang terdiri daripada pelbagai produk antaranya makanan, minuman, peruncitan, perkhidmatan dan pendidikan.

Suriani turut berkongsi pencapaian peniaga kecil di bawah program BIT yang telah berjaya mengembangkan perniagaan dengan pertambahan bilangan kedai seperti Old Time Sengkuang, Tisha's, Bubbles O2, Breena Beauty dan Brainy Bunch.

Beliau berkata sehingga 31 Disember 2022, Pernas telah meluluskan pembiayaan kepada 313 usahawan program BIT melibatkan RM9.9 juta.

Beliau berkata, program BIT diwujudkan selaras Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang memfokuskan kepada peningkatan bilangan PMKS berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif.

"Bidang francais menjadi sebahagian daripada tanggungjawab KUSKOP untuk memastikan usahawan francais diberi bantuan dari segi pembangunan keusahawanan untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan. DKN2030 menjadi landasan kami untuk pacu pertumbuhan usahawan francais," katanya.

DKN 2030 yang dilancarkan pada 11 Julai 2019, menggariskan tujuh elemen teras termasuk menjana sektor pertumbuhan baharu, menambah baik pasaran buruh serta meningkatkan kesejahteraan sosial dan modal sosial.

Mengenai Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Feb lepas, Suriani menyifatkan belanjawan tersebut sebagai mesra PMKS yang dapat memperkasakan sektor itu.

"KUSKOP amat berterima kasih kepada kerajaan atas peruntukan yang diumumkan dan ini menjadi petanda kepada PMKS untuk terus berusaha menyemarakkan ekonomi negara," katanya dan berharap usahawan PMKS mengambil peluang dalam setiap inisiatif yang diwujudkan KUSKOP.

Menerusi Belanjawan 2023, KUSKOP menerima peruntukan sebanyak RM732 juta tahun ini iaitu RM520 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan RM212 juta perbelanjaan mengurus.

Peruntukan terbabit antaranya melibatkan RM50 juta bagi membina gerai penjaja dan peniaga kecil, RM176 juta bagi menaik taraf premis dan perniagaan di bawah Majlis Amanah Rakyat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd dan UDA Holdings serta penurunan kadar cukai PMKS daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

-- BERNAMA